KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini bukanlah satu langkah mudah, namun ia dibuat dengan penuh pertimbangan dan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu mencerminkan iltizam Kerajaan Madani yang mengutamakan suara rakyat dalam setiap dasar yang dilaksanakan.
“Keputusan ini bukan mudah, tetapi ia dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh tanggungjawab. Ini membuktikan bahawa suara rakyat didengar dan diberi keutamaan dalam setiap dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alexander, keputusan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna lebuh raya setiap hari, khususnya mereka yang berulang-alik ke tempat kerja.
Melalui inisiatif itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan bersetuju membayar pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya kekal lancar.
Berikut adalah senarai 10 lebuh raya terlibat:
1.Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga)
2. Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar)
3. Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB)
4. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE)
5. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
6. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
7. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
8. Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke)
9. Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX)
10. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)