Minat terhadap K-Pop bukanlah perkara baharu bagi pemuda berusia 23 tahun itu.
Haziq Zul Azfar Hisham yang berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor berkata, dia mula mengenali dunia muzik Korea sejak 2015 hasil daripada minat awalnya terhadap drama Korea.
“Saya mula minat K-Pop sejak 2015 lagi. Ia secara tidak langsung terjadi kerana saya ‘layan’ K-drama terutama sekali sebab lagu-lagu original soundtrack (OST) mereka memang sedap didengar.
“Dari situ timbul minat untuk dengar lebih banyak lagu-lagu Korea. Saya ingat lagi, drama yang mula-mula buat saya jatuh cinta adalah The Moon Embracing The Sun,” katanya kepada K-Remaja.
Dari OST drama, minat Haziq Zul Azfar atau lebih mesra disapa Haziq berkembang kepada dunia idola K-Pop. Antara kumpulan pertama yang menarik perhatiannya ialah BTS dan GOT7. Sejak itu, dia aktif meneroka pelbagai kumpulan lain dalam industri K-Pop.
Rentetan minat tersebut, pemuda ini mengumpul photocard dan menjadikannya sebagai hobi utama. Haziq kini memiliki kira-kira 220 keping photocard idola K-Pop kesayangannya.
“Saya tak kira sangat jumlah sebenarnya, tapi mungkin dalam lingkungan 220 keping,” ujarnya.
Antara photocard paling bernilai dalam koleksinya ialah milik Kim Taerae dari kumpulan Zerobaseone yang dibeli dari platform X pada harga RM260 sekeping.
Tambah Haziq, dia juga pernah membeli photocard eksklusif dari acara KCON Japan pada harga RM180 yang disifatkan sebagai antara photocard rare miliknya.
“Kim Taerae adalah antara bias (ahli yang paling diminati dalam kumpulan). Saya sanggup cari sampai ke platform X untuk dapatkan photocard dia,” katanya.
Selain membeli, Haziq juga mendapatkan photocard melalui pembelian album, pertukaran (trade) dengan rakan serta penyertaan dalam cabutan bertuah semasa acara-acara tertentu.
Dia turut menjual sebahagian kad yang dimilikinya dengan harga antara RM15 hingga RM30, bergantung kepada kumpulan dan populariti ahli.
Namun bagi Haziq, hobi ini bukan sekadar keseronokan, bahkan berpotensi menjadi satu bentuk pelaburan.
“Bagi saya, pengumpulan photocard ni adalah hobi jangka masa panjang.
“Dalam tempoh lima tahun lagi, photocard ini masih lagi bernilai dan boleh dijual semula dengan harga yang berpatutan,” jelasnya.
Walaupun ramai menganggap hobi ini membazir, Haziq berpegang teguh pada prinsip bahawa minat yang menggembirakan diri tidak seharusnya dipandang negatif.
“Nasihat saya, kalau ada peminat K-Pop yang mahu membeli photocard sebagai self-reward atau hobi, jangan rasa itu satu pembaziran.
“Selagi itu membuatkan anda gembira dan seronok menjadi peminat K-Pop. Paling penting, beli ikut kemampuan,” katanya.















