PETALING JAYA – Pasukan di ranking ke 98 dunia, Palestin menjadi lawan Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), September ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengendali negara, Peter Cklamovski disamping satu lagi perlawanan membabitkan derbi seberang tambak menentang negara jiran, Singapura.
“Seperti saya katakan sebelum ini, kami berusaha mencari yang terbaik untuk menyediakan pasukan kebangsaan bagi menghadapi cabaran pada Oktober dan November. Kami memiliki dua perlawanan yang bagus, aksi derbi menentang Singapura.
“Perlawanan kedua kita akan menentang pasukan di ranking terbaik dunia iaitu di Palestin. Ini cabaran yang bagus buat kami dan kem itu nanti akan memberikan peluang kami kembali membina identiti kami sebagai sebuah pasukan dan membina cara permainan sendiri.
“Kami menghormati mana-mana pasukan lawan, apabila kita menentang Singapura, ia akan menjadi perlawanan penuh emosi, suasana di stadium akan hebat, ia perlawanan bermakna dan cabaran yang baik untuk kami.
“Begitu juga dengan perlawanan menentang Palestin,” katanya pada sesi minum petang bersama pengamal media, hari ini.
Sebelum ini, Harimau Malaya ambil keputusan menarik diri daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Kedua-dua perlawanan itu dijangka akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan akan menarik ramai ‘Ekor Harimau’ hadir ke stadium dan mampu beri ujian terbaik kepada persiapan negara bagi hadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober dan November ini.
Skuad negara akan menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 November. – KOSMO! ONLINE