ATLET boling negara, Muhamad Hafiz Zainuddin menyimpan impian untuk membawa pulang pingat sulung dari pentas Kejuaraan Dunia hujung tahun ini iaitu satu-satunya gelaran utama masih belum pernah diraihnya sepanjang karier.
Namun, laluan ke sana bukan mudah memandangkan Kejuaraan Dunia hanya berselang seminggu sebelum bermulanya temasya Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok.
Ia sekali gus meletakkan barisan kejurulatihan negara dalam dilema untuk membuat pemilihan terbaik sama ada menghantar pemain ke salah satu kejohanan atau kedua-duanya sekali.
“Setakat ini belum ada pemilihan rasmi lagi, jadi saya tunggu keputusan daripada jurulatih.
“Kalau boleh, saya memang nak ke Kejuaraan Dunia sebab belum pernah menang pingat di sana. Tapi apa pun keputusan nanti, saya terima dengan hati terbuka,” katanya kepada Kosmo!.
Hafiz ketika ini dalam prestasi terbaik apabila sudah menggenggam dua kejuaraan musim ini, bermula Kejohanan Antarabangsa DIBC di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Februari disusuli Kejohanan Antarabangsa Sonic di Singapura, April lalu.
Anak jati Kuala Lumpur itu kini beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand dengan misi melangkah ke pentas final sekali gus menjadi medan persiapan terbaik menjelang pertandingan lebih besar hujung tahun ini.
“Tahun ini saya sasar dapatkan kejuaraan ketiga di Thailand. Insya-Allah saya akan beri yang terbaik. Fokus saya sekarang, lepas ke final dulu lepas tu baru fikir pasal kejuaraan,” katanya.
Sebagai rekod, penampilan terakhir Malaysia di Sukan SEA adalah pada edisi Vietnam 2022 yang menyaksikan skuad boling negara menyumbang dua pingat perak dan satu gangsa.