PETALING JAYA – Tindakan seorang jurugambar jalanan mengenakan caj tidak munasabah kepada pelancong Thailand untuk gambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas sehingga mencetus kemarahan orang ramai.
Menerusi perkongsian pelancong dari negara jiran itu di Instagramnya, dia dan rakannya nyaris menjadi mangsa penipuan selepas bersetuju menggunakan khidmat jurugambar lelaki yang berada di kawasan tarikan pelancong tersebut.
Katanya, pada awalnya lelaki itu memaklumkan dia mengenakan caj RM20, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Namun, sebaik sesi bergambar selesai, lelaki itu memaklumkan bayaran yang perlu dijelaskan adalah RM860 atas alasan dia merakam sebanyak 43 keping foto dengan setiap satunya berharga RM20.
“Kepada sesiapa yang melancong ke Malaysia, tolong bawa kamera dan rakam gambar sendiri,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mengecam tindakan jurugambar itu yang disifatkan merosakkan imej negara di mata pelancong asing.
“Ramai sahaja… sampai sekarang jurugambar macam ini (ada) depan menara dan sebab inilah sudah banyak dapat maklum balas negatif daripada pelancong, buat malu,” ujar Baim Hmd.
“Amboi senangnya mereka cari makan buat duit. Yang buruknya nanti nama Malaysia,” komen Emry Amigo.
Dalam pada itu, orang ramai turut menggesa pihak berkuasa supaya memantau aktiviti sedemikian supaya tidak mencemarkan nama baik negara.
“Mohon pihak berkuasa tangkap mereka yang memburukkan imej negara. Seperti orang hamak duit sangat,” balas Hnisazmi. -KOSMO! ONLINE