SHAH ALAM – Undang-undang berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diwujudkan berteraskan nilai tempatan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan ia terus sesuai digunakan di negara ini dengan merentasi pelbagai bidang bagi melindungi kepentingan dan hak cipta termasuk pengamal seni seperti kartunis, perfileman dan sasterawan.
“Soal jaminan, bukan sahaja kartun, sesiapa juga seniman, filem, puisi kadang-kadang apa yang disebut (AI) mematikan kekuatan daya cipta, keupayaan seseorang seniman melakar.
“Jadi, harus ada juga beberapa peruntukan perundangan Kementerian Digital dan Komunikasi.
“Dengan mengambil kira untuk meletakkan negara kita tidak hanya mengikut acuan dari dunia luar, kemudian terperangkap, menghilangkan jati diri, nilai yang harus dipupuk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku ‘Melukis Dengan Hati: Sebuah Biografi Seni 50 Tahun Dalam Bidang Kartun’ karya kartunis Zunar, hari ini.
Anwar menambah, generasi muda juga perlu dilatih dengan ilmu yang tidak meminggirkan nilai, budaya dan agama dalam pembangunan AI.
Katanya, ini supaya garapan teknologi itu melontarkan maklumat yang mengambil kira identiti tempatan.
Ujarnya, beliau pernah membangkitkan hasil garapan daripada teknologi AI diperolehi kini adalah berdasarkan maklumat -maklumat yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat pembangunnya.
“Agak menarik kerana diketahui semua dengan Infideon, Infineon, NVidia, Google, Microsoft , kalau jumpa ketua-ketua mereka saya selalu tanya bagaimana harus jawab dan tanpa kecuali semua mengaku, ya betul AI itu (termasuk) kesenian dan teknologi terkini.
“Tetapi, mereka tahu apa yang dilontarkan dan dimuntahkan oleh AI itu adalah apa yang dimasukkan. Jadi, yang dimasukkan sekarang seperti ChatGPT dan lain-lain itu dilaku dan dilakar oleh negara barat atau mana-mana lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Anwar menyatakan, walaupun karya Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque disifatkan sebagai keras dengan kritikal yang tajam namun ia mampu memenuhi maksud yang mendalam mengenai isu-isu semasa yang perlu dihayati masyarakat secara kolektif.
Katanya, orang ramai juga perlu menyokong buku baharu kartunis itu yang dilancarkan hari ini susulan karyanya sebelum ini sentiasa dicetak semula tanpa kebenaran.
“Tidak dinafikan bila kartun-kartun itu popular cuma tiada copyright ia disebar dan dicetak semula. Sebab itu kita harus bayar balik dengan membeli buku dia disebabkan puluhan tahun dia punya sumbangan semasa era reformasi itu orang tak beli, orang cuma cetak semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE