KUALA LUMPUR – “Saya pakai tiga lapis pakaian termasuk jaket, baju dan beg galas, habis semua koyak. Boleh tembus sampai kena kulit bahu.”
Itu detik cemas dilalui Muhammad Faris Rosaidee, 27, selepas lehernya terbelit tali layang-layang yang melintang di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong, semalam.
Penjawat awam itu berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika dia menunggang motosikal dari Batu Caves ke Bandar Sri Damansara untuk bertemu rakan.
“Mula-mula saya rasa terkena di badan, kemudian naik ke paras dada dan terus melilit leher. Ketika itu saya memakai tiga lapis pakaian iaitu jaket, baju dan beg galas. Semuanya koyak sampai terkena kulit bahu.
“Nasib baik saya pakai pelitup muka khas yang menutup hingga ke leher, kalau tidak mungkin luka lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Faris, trafik yang sesak menyebabkan dia tidak dapat berhenti serta-merta, sebaliknya hanya mampu memperlahankan motosikal dan berharap tali itu akan terputus sendiri.
Selepas kejadian, dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran dan dimaklumkan oleh doktor bahawa kulitnya hanya melecur di lapisan pertama dan tidak sampai berdarah.
Susulan itu, Muhammad Faris telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan turut dihubungi pihak Balai Polis Kepong bagi membantu siasatan termasuk laporan rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Trafik Kuala Lumpur.
“Saya ke DBKL pagi tadi untuk buat aduan rasmi, dan semua laporan telah saya lengkapkan. Syukur segalanya dipermudahkan,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian itu bukan yang pertama kerana beliau pernah mendengar insiden serupa sebelum ini.
Ketika berpatah balik ke lokasi, dia sempat menegur dua individu berhampiran tali tersebut yang mendakwa hanya membantu dan bukan pemilik layang-layang.
Dia turut menggesa pihak berkuasa agar menetapkan zon khas untuk bermain layang-layang jauh dari kawasan jalan raya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Saya kongsi video kejadian ini sebagai kesedaran kepada orang ramai. Ramai yang tanya keadaan saya. Alhamdulillah saya okay… cuma saya bimbang jika perkara ini berlaku pada orang lain,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal cedera akibat terkena tali layang-layang ketika melalui MRR2 berhampiran Taman Tasik Metropolitan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa mengesahkan kejadian berlaku ketika mangsa menunggang dari arah Batu Caves ke Sri Damansara.– KOSMO! ONLINE