MELAKA – Tiada penyakit berkaitan jerebu dikesan di Melaka setakat ini selepas beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana dan tidak sihat sejak Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tiga penyakit berkaitan jerebu yang dipantau ialah asma, jangkitan selaput mata (konjunktivitis) dan jangkitan akut salur pernafasan atas.
Beliau berkata, tiada tren kenaikan yang ketara daripada analisa penyakit yang dipantau bagi minggu epid ke 23 (Jun) hingga minggu epid ke 29 (Julai).
“Pemantauan rapi dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui beberapa klinik sentinel dan Jabatan Kecemasan Hospital Melaka. Kerajaan negeri sentiasa peka dengan keadaan semasa dan akan bertindak secara umum mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Bagi pengurusan kesihatan, pihak jabatan mengikut garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu,” katanya pada sidang akhbar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Setakat pukul 1 tengah hari tadi, kawasan Alor Gajah mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 79 diikuti Bukit Rambai (79) dan Bandaraya Melaka (72).
Tambah Hee Sem, pemakaian pelitup muka tidak ketika ini tidak diwajibkan tetapi orang ramai digalakkan memakainya jika berada di luar rumah.
Menurutnya, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik dinasihatkan berada di rumah.
“Pantau kesihatan sendiri dan ambil tindakan segera sekiranya mengalami sesak nafas, batuk, selesema, konjunktivitis atas asma. Pastikan hidrasi dengan minum air kosong yang mencukupi.
“Setakat ini di Melaka masih okay. Sekiranya terdapat kes atau semakin serius kita akan melakukan langkah yang umum seperti menasihatkan untuk menghadkan aktiviti luar murid-murid di sekolah,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE