BERLIN – Beberapa orang cedera apabila sebuah kereta terbabas dan melanggar seorang budak lelaki yang berada di atas trampolin sebelum kenderaan tersebut melambung ke atas bumbung sebuah bangsal, lapor akhbar The Guardian semalam.
Polis di barat laut Jerman berkata, kereta itu pada mulanya berlanggar dengan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di bandar Bohmte, baru-baru ini.
Ia kemudian merempuh pagar lalu terbabas ke taman dan melanggar mangsa yang berumur tujuh tahun.
Kereta itu seterusnya melambung dan tersangkut pada bumbung bangsal pada ketinggian 3 meter.
“Kanak-kanak tersebut cedera parah,” kata polis sambil menambah, pemandu kereta merupakan seorang lelaki berusia 42 tahun.
Isteri pemandu juga cedera parah, manakala dua anak lelaki mereka yang masing-masing berumur 11 dan 12 tahun serta seorang penumpang berusia 13 tahun hanya cedera ringan.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan pasukan penyelamat memotong bumbung bangsal, manakala kenderaan terbabit dibawa turun dengan menggunakan kren.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengenai punca kemalangan. – AGENSI