KLANG – Malaysia terus menjadi pusat lambakan sisa logam negara luar susulan rampasan 1.9 juta kilogram bernilai RM9.1 juta, baru-baru ini.
Rampasan dibuat pada Mei dan Jun lalu di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan National Targeting Centre (NTC).
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, skrap logam itu ditemui hasil beberapa siri pemeriksaan dan sitaan terhadap 83 buah kontena yang dipercayai diimport masuk tanpa permit.
Katanya, siasatan awal mendapati dagangan itu diimport dari beberapa buah negara di benua Amerika, Eropah dan Asia.
“Ia diimport untuk pasaran tempatan seterusnya menunjukkan Malaysia masih menjadi pusat lambakan sisa logam ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tegas beliau, pengimportan skrap logam adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Ujarnya, ini seperti telah digariskan dibawah Butiran 5, Bahagian I, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Dalam pada itu, Mohamad Azhar memaklumkan, sejumlah 48,130 unit lampu dan pembesar suara mudah alih bernilai RM1.04 juta disita pihaknya.
“Ini susulan pemeriksaan terhadap dua buah kontena masing-masing di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Barat pada 4 dan 5 Jun lalu.
“Ia telah diikrar sebagai fon kepala dan meja serta kerusi lipat bagi mengelak keperluan permit import dari Suruhanjaya Tenaga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE