fbpx
RIBUAN pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa beratur panjang dan terkandas di tempat menunggu bas gara-gara pemandu bas mogok di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru semalam. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO! ONLINE

Isu gaji punca 100 pemandu bas ulang-alik Singapura mogok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tindakan kira-kira 100 pemandu bas syarikat ulang-alik Singapura mogok semalam sebagai tunjuk perasaan susulan penyelarasan gaji dan penetapan kerja baharu yang tidak adil terhadap mereka.

Pemandu bas yang dikenali sebagai Mamat, 38, berkata, mereka sama sekali tidak berbuat menyusahkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ulang alik itu hingga lewat memulakan kerja.

Katanya, penyelarasan gaji baharu menyebabkan pemandu kehilangan antara RM800 hingga RM900 pendapatan sebulan dan menuntut penyelarasan gaji lama dikembalikan.

“Semua pemandu bas yang terlibat sudah memulakan kerja semula hari ini selepas diberi jaminan syarikat akan membuat pengumuman baharu mengenai penyelarasan gaji mereka.

“Ia selepas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, mengadakan pertemuan dengan syarikat sebelum bertemu pemandu bas di ibu pejabat syarikat,” katanya.

Semalam, Mohd. Fazli juga menyatakan akan membantu menyelesaikan isu berbangkit dan meminta pemandu tidak meneruskan mogok dengan alasan ribuan pekerja Malaysia di Singapura akan terjejas.

Terdahulu, ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan bas terjejas, apabila kira-kira 100 pemandu bas mogok sejak pukul 5 pagi.

Ia menyebabkan ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang mengejar waktu bekerja di republik itu, terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), menyebabkan sebahagian pengguna terpaksa berjalan kaki merentas Tambak Johor.

Pekerja Malaysia di Singapura, Ahmad Syahtil, 33, berkata, dia berada lega apabila perkhidmatan bas henti-henti ke Singapura pulih sepenuhnya hari ini.

Katanya, tiada barisan panjang di platform menaiki bas di BSI pada hari ini setelah basa ulang alik kembali beroperasi seperti biasa.

“Alhamdulilah, hari ini perkhidmatan bas ke Singapura kembali pulih dan lancar malah tiada barisan panjang langsung pagi tadi.

“Ramai yang agak risau apabila dapat tahu pemandu bas mogok semalam kerana khuatir ia akan berlarutan dalam tempoh yang panjang, kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI