PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa polis mereka-reka cerita
dia membunuh anaknya sendiri semasa siasatan dilakukan terhadapnya selama 13 hari pada tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia telah memberi kerjasama yang baik namun pihak polis tidak berpuas hati dengan keterangan dan jawapan yang diberikan.
Peguam: Adakah anda memberi kerjasama pada polis semasa mereka jalankan soal siasat?
Ismanira: Ya. saya beri kerjsama yang baik.
Peguam: Adakah pihak polis berpuas hati dengan kerjsama yang anda berikan?
Ismanira: Tidak, kerana mereka menuduh dan mengarang cerita perkara yang saya tidak lakukan.
Peguam: Apakah cerita yang mereka yang anda tidak lakukan?
Ismanira: Mereka (polis) reka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu saya membunuh anak saya sendiri. Apabila saya menafikan mereka tetap tidak puas hati.
Terdahulu Ismanira memaklumlan selama 13 hari ditahan, dia telah ditempatkan di sebuah rumah banglo yang dikenali sebagai ‘safehouse’ di Petaling Jaya.
Katanya, dia mengetahui rumah banglo itu dipanggil ‘safehouse’ kerana pernah terdengar pihak polis yang membawanya ke situ memanggil rumah itu dengan panggilan sedemikian.
Dalam pada itu, saksi itu berkata, selepas dibawa ke hadapan Majistret bukan sahaja untuk perintah reman tetapi juga didesak untuk mengaku bersalah.
“Saya memberitahu majistret saya tidak sanggup berada di hadapannya. Polis memaksa dan mengugut saya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu. Tetapi Majistret merekodkan pengakuan tidak bersalah,” katanya.
Sementara itu berhubung pertuduhan, Ismanira dengan tegas memberitahu dia tidak pernah mengabaikan anak sulungnya itu selain tidak berada di blok R sepanjang masa dan tidak pernah ke kawasan sungai seperti mana dalam pertuduhan.
“Saya yang mengandung dan melahirkan serta membesarkan Zayn. Sepanjang usia Zayn saya hanya berpisah dengannya pada waktu saya berkerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja, saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan,” katanya lagi.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.
Semasa prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari
dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE