PETALING JAYA – Pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools mengakui tidak mahu masuk campur mengenai perancangan pihak pengurusan pasukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengatur aksi persahabatan pada September depan.
Cools yang kini mewakili pasukan Cerezo Osaka mengakui skuad Harimau Malaya boleh melakukan persiapan alternatif sebelum menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober dan November ini.
“Saya anggap ia berita yang kurang baik (tarik diri dari Piala CAFA 2025), tetapi pada masa sama pengurusan sudah melakukan yang terbaik. Kami ada tugasan untuk kelayakan Piala Asia, dan saya fikir ia perkara paling penting buat kami.
“Saya fikir September adalah medan terbaik untuk kami melakukan persediaan untuk Oktober (kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos) kerana kami mahu mara ke Arab Saudi (pusingan akhir Piala Asia 2027).
“Saya fikir pihak pengurusan akan buat keputusan yang betul dan kita perlu percaya mereka akan buat keputusan tepat. Saya tidak mahu panik mengenai perkara itu, hanya kekal bersama pasukan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Harimau Malaya menarik diri daripada Piala CAFA 2025 selepas mengambil kira hal logistik dan tarikh perlawanan di luar kalendar FIFA.
Situasi itu menyaksikan kalendar antarabangsa yang bermula 1 hingga 9 September depan masih ‘lompong’ dengan FAM terdesak untuk mencari perlawanan berkualiti tinggi di tanah air. – KOSMO! ONLINE