NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Himachal Pradesh, India menjadi perhatian orang ramai kerana berkahwin dengan dua lelaki yang merupakan adik beradik, lapor laman berita Hindustan Times.
Pengantin perempuan, Sunita Chauhan mengahwini Pradeep dan Kapil Negi pada 12 Julai lalu.
Menurut agensi berita PTI, ketiga-tiga mereka adalah daripada suku kaum Hatti yang sudah lama menetap dalam negeri itu.
Mengikut tradisi lama puak tersebut, perkahwinan antara seorang wanita dengan dua lelaki adalah perkara biasa, bertujuan supaya mereka dapat mempertahankan tanah nenek moyang.
Menurut Sunita, dia sedia maklum akan tradisi itu dan keputusannya untuk berkahwin dengan dua beradik tersebut dibuat tanpa sebarang tekanan.
Daripada dua beradik itu, Pradeep yang merupakan si abang, berkhidmat dengan kerajaan negeri, manakala Kapil bekerja di luar negara.
Pradeep berkata, mereka berbangga dengan tradisi suku kaum Hatti dan keputusan itu dibuat secara bersama.
“Kami mengikuti tradisi secara terbuka kerana kami berbangga dengannya. Ia adalah keputusan kami bersama,” katanya.
Sementara itu, Kapil berkata, walaupun tidak menetap di India, dia dan abangnya akan memastikan sokongan, kestabilan dan kasih sayang untuk isteri mereka sebagai sebuah keluarga yang bersatu.
Suku Hatti di Himachal Pradesh adalah komuniti di sempadan Himachal Pradesh-Uttarakhand.
Meskipun perkahwinan poliandrik adalah amalan biasa dalam komuniti itu selama berabad-abad, semakin ramai suku kaum tersebut telah meninggalkan adat tersebut.
Seorang penduduk Kampung Shillai, Bishan Tomar berkata, terdapat berpuluh-puluh perkahwinan seperti itu di kampung mereka tetapi ia tidak disambut secara terbuka.
“Terdapat lebih 30 keluarga di kampung kami, di mana dua atau tiga saudara lelaki mempunyai seorang isteri atau seorang suami mempunyai beberapa isteri.
“Namun, perkahwinan itu berlaku secara senyap-senyap,” katanya. – AGENSI