fbpx
Wan Mohammed Saupee memeriksa dokumen disyaki pasport palsu dalam serbuan di sebuah apartmen di Kepong, semalam.

Bayar RM400 dapat pasport palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket warga asing yang menawarkan perkhidmatan memproses pasport palsu terbongkar selepas diserbu pihak imigresen di sebuah apartmen di Kepong, di sini, semalam.

Dalam Ops Serkap pada pukul 11 malam itu, pihak berkuasa menemui ratusan pasport yang diproses dua lelaki Bangladesh berusia dalam lingkungan 20-an di dalam sebuah bilik kediaman tersebut.

Turut ditemui sejumlah dokumen berkaitan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) yang diperlukan warga asing untuk bekerja di Malaysia.

Difahamkan, sindiket mengenakan bayaran RM400 bagi setiap pasport yang mengambil masa 10 minit untuk diproses.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dijalankan susulan risikan selama sebulan.

Modus operandi sindiket adalah menyediakan dokumen palsu bagi memperdaya pihak klinik untuk mendapatkan laporan Fomema.

“Sindiket menggunakan butiran peribadi individu berstatus ‘fit’ dan menukar wajah pada pasport individu berstatus ‘unfit’ bagi menipu laporan darah dan x-ray.

“Warga asing itu akan menggunakan laporan Fomema tersebut untuk tujuan permohonan melanjutkan tempoh pas masing-masing,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati keseluruhan transaksi pelanggan dan ejen dilakukan menerusi WhatsApp. Tempahan dibuat kepada dua suspek yang ditahan.

Bayaran dibuat menerusi satu akaun bank dipercayai milik individu yang berpangkalan di Bangladesh. Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI