LIVERPOOL – Belum pun sempat Hugo Ekitike menyarung jersi Liverpool, namun pengurus The Reds, Arne Slot sudah diberikan amaran berhubung sikap dan tingkah laku penyerang baharunya itu.
Pemain Eintracht Frankfurt itu merupakan nama terbaharu yang bakal dibawa masuk Liverpool pada jendela perpindahan kali ini selepas bersetuju dengan yuran perpindahan £78 juta (RM445.62 juta) ditetapkan.
Bekas pengendali yang pernah membimbingnya di Stade Reims, Oscar Garcia berkata, sesetengah jurulatih tidak menggemari sikap dan karakter Ekitike, terutamanya ketika berada di luar padang.
“Dia (Ekitike) memang seorang pemain yang berbakat tetapi ada jurulatih tidak senang dengannya kerana karakter dimiliki. Ada berpendapat Ekitike seorang pemain yang agak sombong.
“Setiap pemain memiliki peluang untuk berkembang dan mereka memerlukan bantuan daripada jurulatih. Oleh itu, individu yang akan membantunya nanti bakal menjadi aspek paling penting dalam perkembangannya,” katanya.
Tambah beliau, pemain berusia 23 tahun itu sangat sesuai untuk bermain dengan corak permainan ‘possession’ serta serangan balas pantas, sama seperti yang diguna pakai Liverpool ketika ini.
“Dia sangat sesuai dengan mana-mana pasukan yang menerapkan corak permainan serangan balas pantas. Selain itu, dia juga gemar untuk turun ke bahawa membantu rakan sepasukan yang lain,” ujar Garcia. – AGENSI