KOTA SAMARAHAN – Seorang wanita maut akibat lemas selepas kereta jenis Perodua Bezza dipandunya bersama anak perempuan autistik terbabas ke dalam tasik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Damataries Lautin berkata, mangsa berusia 50 tahun dari Kampung Tanjong Poting, Singai disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Prima UNIMAS semasa menerima rawatan kira-kira pukul 11.51 pagi.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anak mangsa yang berusia 17 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menjelas lanjut, Damataries berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Desa Ilmu menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang menggunakan jalan dalam UNIMAS.
“Sebaik sampai di kawasan tasik berdekatan bulatan UNIMAS, kereta mangsa yang dipercayai diparkir sebentar di tepi jalan atas rumput sebelum tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam tasik,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE