PETALING JAYA – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan bahawa media tidak sepatutnya dijadikan alat kepada mana-mana pihak berkepentingan politik sebaliknya perlu diurus secara profesional dan berlandaskan etika kewartawanan.
Tegas beliau, dalam sistem demokrasi, media merupakan tiang penting dalam menyampaikan maklumat sahih dan seimbang kepada rakyat.
“Bila syarikat tidak diurus secara profesional, yang jadi mangsa bukan hanya pekerja tetapi juga keluarga mereka. Kita ada tanggungjawab kepada semua,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun kelima Media Mulia di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, media perlu beroperasi berlandaskan model perniagaan yang kukuh serta berpegang kepada prinsip kewartawanan yang jujur dan beretika.
“Media ini bukan tempat untuk jadi jaguh politik. Kita kena jalankan media secara profesional, bukan ikut emosi atau tekanan luar.
“Kalau kita salah beri maklumat, rakyat akan buat keputusan yang salah. Itu bahaya,” ujarnya.
Johari turut menyatakan kebimbangan terhadap penularan berita palsu dalam media sosial apabila hampir 60 peratus kandungan tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Rakyat banyak terima maklumat dari media sosial. Tapi tanpa jenama media yang kuat dan dipercayai, mereka tak tahu mana betul atau salah.
“Inilah peranan penting media arus perdana menjadi sumber maklumat sahih dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Tambah beliau, pengurusan media yang profesional turut membantu membina keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara. – KOSMO! ONLINE