MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang diselamatkan ketika mandi di kolam renang rumah inap di Taman Kota Syahbandar, di sini semalam masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU), Hospital Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, mangsa kini dalam keadaan kritikal dan menggunakan bantuan mesin pernafasan kerana kehilangan fungsi otak.
Katanya, kenyataan bapa mangsa sebelum ini yang memaklumkan kanak-kanak itu meninggal dunia mungkin disebabkan trauma dan kecewa dengan tragedi yang berlaku.
“Mungkin sejak hari pertama (kejadian lemas) bapanya trauma dan kecewa lalu terlepas cakap (meninggal dunia). Kita harap tidak dipanjangkan lagi isu ini.
“Doktor memaklumkan mangsa bergantung dengan bantuan mesin pernafasan kerana otaknya telah mati,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Melaka hari ini.
Menurut beliau, satu prosedur akan dilakukan esok bagi menentukan rawatan dan keputusan terbaik untuk kanak-kanak tersebut.
Katanya, ibu bapa mangsa turut meminta agar isu berkaitan anaknya tidak dipanjangkan, sebaliknya mendoakan agar keajaiban diberikan kepada anak mereka.
“Bapanya telah reda atas apa yang berlaku dan menerima seadanya, namun trauma itu tetap ada. Saya harap insiden ini dijadikan pengajaran kepada semua agar mana-mana kolam renang mempunyai pengawal keselamatan (lifeguard).
“Ini kerana anak-anak sentiasa teruja untuk mandi-manda. Dalam kes ini mangsa dikatakan sekelip mata masuk ke dalam kolam dewasa,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang nyaris lemas ketika mandi kolam di Taman Kota Syahbandar disahkan meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh bapa mangsa menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya pada pukul 3.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE