KLANG – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) tular menghimpit dan mengancam pemandu kereta lain di Lebuh Raya Selat Klang Utara di sini, dipercayai mahu pergi ke rumah ibunya yang terjatuh di rumah.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, lelaki berusia 29 tahun itu tampil membuat laporan polis dengan ditemani peguam di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Suspek kemudian ditahan awal pagi tadi dan dibawa bagi menjalani ujian saringan air kencing. Hasil saringan kemudian mendapati suspek negatif dadah dan diberi jaminan polis pukul 3 pagi tadi.
“Berdasarkan keterangan, suspek ketika kejadian mahu pergi ke rumah ibunya yang terjatuh dan membawanya ke hospital,” katanya hari ini.
Tambah Vijaya, kes itu diklasifikasikan semula pihaknya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE