JAKARTA – Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut(TNI-AL) mengesahkan semua penumpang menaiki kapal KM III Barcelona yang terbakar di perairan Sulawesi Utara tengah hari tadi selamat dipindahkan.
“Kami mengesahkan bahawa semua mangsa telah dipindahkan,” kata Komander Armada Tentera Laut Indonesia, Timbalan Laksamana Denih Hendrata kepada agensi berita rasmi ANTARA hari ini.
Dalam satu klip video mengenai kejadian yang diperoleh ANTARA, memaparkan kebakaran telah dipadamkan dan memperlihatkan rangkanya yang rentung.
Sementara itu, menurut Komander Pangkalan Tentera Laut VII/Manado, Komodor May Franky Pasuna Sihombing, seramai 280 penumpang dipindahkan, namun tiga daripada mereka meninggal dunia.
“Daripada 280 penumpang yang dipindahkan setakat ini, terdapat tiga kematian, namun ia bukan disebabkan oleh kebakaran tetapi penyakit,” kata May.
Pasukan penyelamat pula masih memeriksa bangkai kapal bagi memastikan tiada lagi penumpang berada di dalamnya,” tambah pegawai berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, Kapal KM III Barcelona terbakar dekat Pulau Talise di Daerah Minahasa Utara selepas belayar dari sebuah pelabuhan di Daerah Kepulauan Talaud menuju ibu negeri wilayah Sulawesi Utara, Bandar Manado, tengah hari tadi. – AGENSI