PETALING JAYA – Tindakan agresif seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kerana tidak diberi laluan mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan turut menggunakan lampu kecemasan menyerupai kenderaan penguat kuasa dipercayai bagi memaksa kenderaan lain memberikan laluan.
Namun, kemarahannya memuncak apabila beberapa buah kenderaan tidak mengendahkan isyarat tersebut sebelum dia dilihat memberhentikan kenderaan dan menyerang pemandu sebuah Perodua Myvi yang memintas di hadapannya.
Difahamkan, lelaki terbabit mendakwa kereta tersebut turut enggan memberi laluan kepadanya.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan susulan bantuan seorang anggota penguat kuasa yang berada di lokasi kejadian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati orang ramai mengecam tindakan lelaki berkenaan yang dianggap yang disifatkan sebagai biadab dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Berapa banyak lagi kekerasan seperti ini perlu berlaku untuk memastikan orang macam ini diambil tindakan? Insiden ini juga tunjuk dia tidak hormat pada pegawai yang bertugas. Kalau boleh lepas ini pihak polis kena lebih berkeras dengan orang macam ini,” kata Harissose.
“Kenapa lelaki itu kurang ajar sangat? memang patut kena gari kalau begini perangainya,” komen Chubby9636. -KOSMO! ONLINE