GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung laporan media antarabangsa yang mendakwa dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low berjaya dikesan di China.
”Saya tidak dapat maklumat. Kita belum dapat apa-apa maklumat. Bagi saya semak dahulu, saya dah baca (laporan berita), tapi saya kena semak dengan Menteri KDN,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Dua wartawan penyiasatan, Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, pada Jumaat mendakwa Jho Low dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Green Hills di Shanghai, China selain memandu kereta mewah dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Jho Low juga didakwa beroperasi dari pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai dan berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China meskipun Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya. -KOSMO! ONLINE