BESUT – Biarpun cuma durian kampung, namun raja buah Hulu Besut mempunyai peminatnya tersendiri disebabkan isinya yang tebal, rasa lemak manis dan berwarna kuning.
Sebanyak empat tan durian kampung diusahakan penduduk terjual sejak bulan lalu.
Seorang pemborong, Kamaruddin Che Umar, 67, berkata, setiap hari, dia mampu menjual kira-kira 100 kilogram durian kampung Hulu Besut dan mendapat permintaan bukan hanya sekitar Terengganu malah hingga ke Lembah Klang.
“Ramai mengaku puas menikmati durian kampung Hulu Besut yang setanding variati kacukan dan kahwin,” katanya di sini semalam.
Kamaruddin berkata, harga borong durian kampung Hulu Besut meningkat kepada RM8 sekilogram berbanding cuma RM2 sekilogram tahun lalu.
Jelasnya, sebagai perbandingan pengeluaran durian kampung Hulu Besut pada tahun lalu lebih 30 tan.
Seorang pekebun, Mohd. Daud Abdullah, 60, berkata, walaupun pengeluaran merosot, musim durian tetap memberikannya pendapatan sampingan yang agak lumayan.
“Kami memiliki kebun durian seluas 0.8 hektar yang ditanam 96 batang pokok durian. Alhamdulillah, sebahagian besar buah durian yang gugur telah ditunggu pemborong untuk membelinya,” katanya.