BESUT – Hasrat seorang pensyarah institusi pengajian tinggi mahu meraih keuntungan besar dalam pelaburan kripto tidak kesampaian sebaliknya dia pula kerugian RM238,500 apabila diperdaya sindiket penipuan.
Wanita berusia 57 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, pensyarah tersebut tertarik dengan skim pelaburan kripto berkenaan setelah melayari sebuah laman web pada 31 Mei lalu.
“Mangsa kemudiannya menghubungi suspek bagi menyertai skim pelaburan kripto yang kononnya menjanjikan pelaburan lumayan.
“Dia yang terpengaruh membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM238,500,” katanya di sini hari ini.
Md. Sani berkata, pelaburan tersebut dilakukan wanita berkenaan menerusi 25 transaksi antara 31 Mei hingga 16 Julai lalu.
Beliau berkata, pembayaran dilakukan pensyarah terbabit ke dalam tujuh akaun bank diberikan suspek.
“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE