fbpx

Pemuda didakwa bunuh anak kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak kekasihnya yang berusia 19 bulan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 19 bulan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9 malam pada 6 Julai 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh tidak kurang 30 tahun, tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak mencadangkan jaminan dan memohon tarikh baharu untuk laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang ibu tunggal dan kekasih baharunya ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 19 bulan di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI