ALOR SETAR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru orang Melayu agar kembali bersatu bagi mengembalikan kekuatan politik yang didakwa semakin terhakis.
Kata beliau, perpecahan hanya akan menyebabkan kekuatan politik Melayu menjadi lemah.
“Hari ini kita nak satukan orang Melayu kerana apabila orang Melayu berpecah, kita jadi lemah.
“Daripada sebuah parti yang kuat umpamanya UMNO sudah pecah kepada lima parti yang kecil-kecil belaka dan tidak ada siapa pun daripada mereka boleh menang, cukup bilangan untuk mendirikan kerajaan. Kita tahu bahawa bersatu teguh, bercerai roboh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) di Suka Menanti, di sini malam tadi.
Katanya, orang Melayu juga didakwa tidak mendominasi dalam kerajaan sekarang.
“Kita bercerai, kita sudah jadi lemah dan hari ini orang Melayu sudah hilang kuasa. Walaupun mereka ada dalam kerajaan, tetapi mereka bukanlah yang menjadi dominan dalam kerajaan.
“Sebab itu kita perlu bersatu semula sebagai bukan parti, tetapi sebagai orang Melayu kerana kita nak selamatkan negara kita,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sejarah menunjukkan kekuatan politik Melayu pernah menjadi asas utama kepada pembentukan negara ini.
“Caranya orang Melayu bersatu semula seperti mana mereka bersatu dalam UMNO pada tahun 1946 bila melawan dengan Malayan Union anjuran British.
“Sekarang ini kita perlu bersatu untuk mengekalkan dominasi kaum kita dalam kerajaan kerana kita adalah majoriti, bilangan yang terbesar dalam negara kita ini,” katanya.
Jelasnya, perkara itu bukan bermakna menolak kaum lain yang mana mereka juga boleh bersatu.
“Mereka boleh bersatu, orang Cina, India, Iban, Kadazan boleh bersatu tetapi kita cantum dalam satu gerakan. Satu kombinasi yang boleh jadi kuat dan boleh mentadbir negara dengan baik.
“Itulah pendekatan kita, kita tidak tolak kaum lain, tetapi kita kena jaga hak kita. Kalau kita tak jaga hak kita, kita akan jadi lemah dan akan hilang kuasa dalam negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE