PETALING JAYA – Setahun enam bulan bersiaran, pelakon Datuk Fizz Fairuz mengejutkan ramai apabila mengumumkan pengundurannya daripada kerjaya sebagai penyampai radio di Suria FM menerusi segmen Morning Morning Suria.
Fizz, 45, yang sebak ketika mengucapkan kata-kata terakhir berkata, dia berterima kasih kepada seluruh pasukan Suria FM sepanjang tempohnya bekerja sebagai penyampai radio.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM.
“Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, minta maaf atas setiap silap dan salah saya selama saya di sini, saya pula seorang yang terlalu sempurna mungkin ada orang sukar ikut dan sebaliknya,” katanya ketika bersiaran hari ini.
Dalam masa sama, dia sempat mengakui kerjaya sebagai penyampai radio merupakan salah satu impian yang diinginkannya sejak dulu.
“Terima kasih banyak sebab beri peluang untuk saya merasa dan realisasikan impian untuk menjadi penyampai radio.
“Saya sudah jadi pengarah, pelakon dan kini di radio. Saya jadi penyampai radio ini pun saya minat termasuk suka melakukan drama radio.
“Akhirnya tercapailah impian saya untuk jadi penyampai radio,” katanya lagi.
Fizz juga sempat menitipkan pesanan kepada rakan gandingannya iaitu Ajak Shiro dan Kai Hassan agar meneruskan rutinnya sebelum ini yang mengingatkan pendengar supaya tidak meninggalkan solat Subuh.
“Jangan lupa, segmen saya sebelum ini pada pukul 6 pagi ialah mengingatkan pendengar agar tunaikan solat subuh. Beritahu kepada mereka (pendengar).
“Sejadah yang saya gunakan itu, saya tinggalkan di sini, gunalah,” ujarnya.
Keputusan Fizz tidak meneruskan kontrak disebabkan mahu memberi fokus kepada anak-anaknya selain kasihan melihat isterinya iaitu pelakon Almy Nadia terpaksa menguruskan anak-anak bersendirian setiap pagi.
“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh satu tahun enam bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk.
“Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem” kata Fizz yang awalnya hanya mengikat kontrak satu tahun bersama stesen berkenaan.
Sementara itu menerusi perkongsian InstaStory, isterinya, Almy Nadia mendoakan yang terbaik buat Fizz.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik, ditemukan dengan orang yang baik, dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah. Love you sayang, i always love you. Mama sentiasa ada dengan sayang,” tulisnya.
Dalam perkongsian lain pula, Almy bersorak kecil saat merakamkan kelibat suaminya pulang ke rumah selepas menamatkan tugas pada hari terakhir bergelar penyampai radio.
“Yeay, dia sudah pulang. Kereta yang dipandunya itu akan jadi milik saya, hantar anak-anak ke sekolah,” katanya menyambut kepulangan Fizz yang seketika kemudian menghala ke arah Almy.
Fizz terdahulu berkhidmat sebagai penyampai di radio Suria FM sejak 21 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE