JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan penduduk sebuah kawasan kejiranan di Indonesia mencabut lapisan tar daripada sebatang jalan yang baru diturap, lapor portal berita Jawa Pos semalam.
Rakaman video di platform TikTok oleh akaun @Heartpanda menunjukkan seorang wanita secara bersahaja mencabut tar di hadapan rumahnya.
Bahkan, tar tersebut kelihatan lembut seperti plastik atau topeng ‘peel off’, menyebabkan ia boleh ditarik dengan mudah.
Masih belum jelas lokasi sebenar kejadian, namun rakaman itu mencatatkan lebih 44,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Ini bukan tar tapi ‘mask peel off’,” kata seorang netizen.
“Mereka tidak kesah, yang penting duit masuk poket,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI