GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas yang dipercayai suspek utama sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Gelugor, Rabu lalu.
Suspek berusia 62 tahun itu ditahan bersama seorang rakannya iaitu lelaki tempatan berumur 40 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah. Penahanan kedua-dua suspek telah membongkar penemuan dadah jenis MDMA bernilai RM2.2 juta.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dilakukan kira-kira pukul 3 petang hingga pukul 2.30 pagi, keesokan harinya.
“Tangkapan lelaki berusia 62 tahun itu telah membawa kepada penahanan rakan sejenayahnya di kawasan sama.
“Suspek utama itu pernah mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada tahun 2024,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini, petang tadi.
Menurut beliau, rumah tersebut dipercayai disewa sejak tiga bulan lalu pada harga RM3,000 sebulan dan dijadikan makmal bagi memproses dadah sintetik untuk pasaran tempatan, khususnya pusat-pusat hiburan.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas ini mempunyai kemahiran khusus dalam pemprosesan dadah dan tidak serik menjalankan kegiatan jenayah walaupun pernah dikenakan hukuman.
“Rumah sewa yang dijadikan tempat memproses dadah itu turut dilengkapi dengan peralatan khas bagi tujuan menghasilkan serbuk MDMA,” katanya. – KOSMO! ONLINE