PETALING JAYA – Pelakon Alya Iman menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.
Lebih mengejutkan, Alya atau Nur Alya Iman Azmil, 24, tidak menyangka peminat pasangan selebriti berkenaan ‘memetik’ namanya sebagai orang ketiga.
“Saya tiada kena-mengena. Hanya sebab drama kami, Si Bakhil Dengan Bunganya sedang disiarkan, nama saya pula kena sebut.
“Saya tak tahu langsung mengenai masalah yang Yusuf hadapi. Tidak adil masalah rumah tangga dia, saya pula jadi kambing hitam,” katanya.
Jelasnya, hubungan dengan Yusuf tidak lebih seperti abang dan adik sepanjang tempoh penggambaran.
“Saya bahkan tidak menyimpan nombor telefon Yusuf demi menjaga nama baik apabila berkerja dengan pelakon berstatus suami orang.
“Kami di set penggambaran memang baik, saya anggap dia macam abang saja. Saya sangat profesional, di luar set saya memang tak akan hubungi dan berkawan dengan dia,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia meminta pihak lain berhenti mengaitkan namanya dengan mana-mana kes melibatkan keruntuhan rumah tangga.
“Saya tak kisah kalau hal viral itu saya sendiri buat macam pakai baju seksi dan bersedia hadap.
“Kalau ada isu yang berbaur fitnah, saya tak berminat nak tahu sebab penat jaga nama baik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Alya diserang netizen dengan pelbagai kata-kata negatif sehingga terpaksa menutup ruangan komen media sosialnya.
Difahamkan, tuduhan tersebut mula timbul selepas Alya dan Yusuf sama-sama membintangi drama Si Bakhil dan Bunganya yang sedang ditayangkan di Astro One.
Sebelum ini, nama Zizi dan Yusuf menjadi bualan selepas dilihat tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.
Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021. – KOSMO! ONLINE