KOTA BHARU – Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan taktik baharu dengan memasukkan dadah ke dalam punggung lembu atau kambing yang diseludup dari Thailand bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, sindiket terbabit dipercayai menyembunyikan dadah dalam usus atau punggung haiwan ternakan untuk diseludup.
Menurutnya, ternakan itu akan dikuarantin selama dua minggu dan sindiket dipercayai sengaja tidak memberi makanan dan minuman kepada haiwan terbabit sepanjang tempoh tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati, kumpulan sindiket itu sengaja tidak memberi lembu makanan dalam tempoh tersebut bagi mengelakkan haiwan berkenaan membuang najis semasa dikuarantin.

“Apabila haiwan itu tidak membuang najis sepanjang tempoh tersebut, ada kemungkinan bahan terlarang dimasukkan ke dalam lembu berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pemantauan terhadap semua haiwan yang dibawa masuk menggunakan permit sah akan dilakukan termasuk pemeriksaan lebih ketat di pusat kuarantin dan kawasan berisiko tinggi.
Katanya, kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dan Pasukan Gerakan Am turut dijalankan bagi menyekat taktik itu daripada berleluasa. – KOSMO! ONLINE