PETALING JAYA – Selepas tujuh tahun, bintang dancehall terkenal dunia, Sean Paul kembali ke Malaysia dan bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert istimewa pada 10 Oktober depan di Idea Live Arena.
Konsert anjuran Epic Elation bersama rakan kerjasama menandakan kemunculan semula penyanyi berusia 52 tahun itu ke Malaysia dan dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan pada tahun ini.
Menurut pelantun lagu No Lie itu, kehadirannya semula ke Malaysia sejak tahun 2018 amat dinantikan dan konsert anjuran Epic Elation bersama rakan kerjasama menjadi peluang istimewa untuk kembali menghiburkan peminat tempatan, sekali gus dijangka menjadi antara konsert paling hangat tahun ini.
“Saya tidak sabar untuk kembali. Setiap kali berpeluang bertemu peminat dari seluruh dunia, ini adalah satu nikmat besar,” katanya.
“Lagu terbaharu iaitu Ginger, mempunyai aura tersendiri, dan saya yakin para penonton akan menikmatinya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Epic Elation turut menyifatkan konsert ini bukan sekadar persembahan, sebaliknya satu perayaan muzik dan budaya yang menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang serta berjanji menghiburkan dengan persembahan luar biasa.
“Kami amat teruja membawa Sean Paul kembali ke Malaysia. Dengan sokongan rakan strategik, kami yakin konsert ini akan menjadi antara persembahan paling berkesan dan berimpak tahun ini,” jelasnya.
Tiket-tiket konsert akan mula dijual pada 21 Julai 2025 menerusi platform fantopia.io dengan harga bermula serendah RM363 hingga RM493 dan beberapa kategori diberi nama berdasarkan lagu-lagu hit Sean Paul seperti Shake That Thing dan Temperature. – KOSMO! ONLINE