PETALING JAYA – Dalam debaran menantikan pengumuman penting daripada Perdana Menteri, rakyat Malaysia rata-rata mengaku ‘tidur tak lena’ sejak dua hari lalu, gara-gara hantaran dimuat naik Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Poster misteri yang bertulis “Akan datang…suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia” telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan harapan di kalangan rakyat.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ribuan pengguna meluahkan rasa tidak sabar dengan perkongsian Anwar itu.
“PMX, dah dua hari kami tidur tak lena, apa berita baik tu?,” soal Athirah Ali.
“Datuk Seri, jangan biar kami terus tertanya-tanya. Tolong umum cepat. Kami dah dua malam tidur tak lena,” komen Muhd Iltizam.
“Saya harap berita baik tu pasal penurunan harga barang dapur. Atau penambahan subsidi bagi mengurangkan kos belanja rakyat,” luah Syukri.
Sementara itu, ada juga mengaitkan pengumuman itu dengan hal-hal seperti bonus tambahan, penurunan harga minyak atau bahkan rombakan kabinet yang bakal memperkukuh pentadbiran.
Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai tarikh sebenar pengumuman tersebut atau bentuk ‘berita baik’ yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, poster misteri itu bukan sahaja dikongsikan di media sosial rasmi Anwar, malah kementerian yang lain turut memuat naik perkara sama sehingga menambah debaran dalam kalangan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE