fbpx

PKR tinggal 22 kerusi jika gantung 9 Ahli Parlimen – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIZI

PETALING JAYA – Menggantung keahlian sembilan Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyebabkan parti itu tinggal 22 kerusi.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, menggantung keahlian beliau dan lapan Ahli Parlimen terlibat juga tidak menyelesaikan masalah kerana mereka yang dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara akan terus bersuara.

Kata beliau, menggantung keahlian mereka malah sekadar memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada Ahli Parlimen seperti Hassan Abdul Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tiada tindakan dikenakan.

“Ada desakan supaya saya dan lapan lagi Ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung, maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung.

“Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi. Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati. Rakyat pun perhati juga. Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baru menang selepas pemilihan parti baru-baru ini perlu tahu bahawa PKR tidak dibina dengan menutup mulut.

Ujar beliau, PKR nampak dinamik kerana sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.

Tambah beliau, PKR juga diminati rakyat sebelum ini kerana paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.

“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru seperti ketua-ketua cabang ini untuk menjadi orang besar dan berjawatan.

“Sebab kalau belum tahu budaya dalam PKR, ini satu petua yang saya nak kongsi. Sayangkan anak tangan-tangankan. Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Sayangkan negara tegur-tegurkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI