ISLAMABAD – Hujan lebat yang melanda Pakistan telah menyebabkan 54 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan korban monsun sejak akhir Jun lalu mencecah kira-kira 180 orang.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata, hujan lebat turun hampir tanpa henti merentasi bahagian wilayah Punjab sejak pagi semalam, menyebabkan banjir dan rumah runtuh.
Pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk di kawasan rendah berhampiran Sungai Nullah Lai di Rawalpindi, yang terletak bersebelahan ibu kota Islamabad, untuk segera berpindah.
“Beberapa pemindahan telah dijalankan di kawasan berhampiran sungai dan pasukan penyelamat kini bersedia untuk menjalankan lebih banyak operasi,” kata jurucakap NDMA.
Kerajaan tempatan Rawalpindi turut mengisytiharkan cuti umum hari ini sebagai langkah berjaga-jaga agar orang ramai kekal berada di rumah.
Secara keseluruhan, sejak musim monsun bermula pada 26 Jun lalu, seramai 180 orang termasuk 70 kanak-kanak maut dan sekitar 500 orang cedera. – AFP