PETALING JAYA – S P Setia Bhd (Setia) telah mendapat sijil Leadership in Energy and Environmental Design for Neighbourhood Development (LEED ND) melalui projek pembangunan mampannya iaitu Setia Federal Hill di Bangsar.
Pensijilan tersebut telah membuktikan komitmen Setia Federal Hill terhadap penjagaan alam sekitar dan perancangan bandar pintar serta keterangkuman komuniti.
Naib Presiden Eksekutif Setia, Liong Kok Kit berkata, pensijilan ini mengesahkan komitmen Kumpulan untuk membina komuniti yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.
“Ini adalah bukti kepada visi kolektif, dedikasi dan kerjasama Kumpulan dalam usaha menghidupkan Setia Federal Hill.
“Dikenali sebagai pengiktirafan tertinggi oleh U.S. Green Building Council (USGBC), ini adalah pencapaian penting, bukan sahaja untuk Setia tetapi juga untuk kemajuan pembangunan bandar mampan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Setia Federal Hill merupakan pembangunan pertama di Malaysia yang mencapai pengiktirafan tertinggi di bawah rangka kerja LEED ND v4 yang diberikan oleh USGBC.
Berdasarkan pelan induk Setia Federal Hill yang dikemukakan pada 2023, proses pensijilan melibatkan beberapa siri penilaian, dengan kriterianya termasuk lokasi dan rangkaian pintar, reka bentuk kejiranan, infrastruktur dan bangunan hijau, inovasi.
Projek Setia Federal Hill terletak di kawasan seluas 20.8 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion serta merangkumi dua menara kediaman dengan kira-kira 1,300 unit.
Projek berkenaan adalah kerjasama antara Setia dan Mitsui Fudosan. -KOSMO! ONLINE