PETALING JAYA – Kejayaan masyarakat Maori di New Zealand mengusahakan Onuku Farm wajar di pelajari dan sesuaikan dengan realiti komuniti Orang Asli di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Onuku Farm berjaya memajukan ekonomi komuniti Maori dengan mengekalkan nilai budaya dan tradisi mereka.
“Saya teruja dengan kejayaan masyarakat Maori mengusahakan Onuku Farm. Inilah model yang wajar kita pelajari dan sesuaikan dengan realiti komuniti Orang Asli negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, beliau yang dalam lawatan kerja rasmi di New Zealand mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Maori, Whanau Ora, Pemuliharaan, Hubungan Mahkota–Maori (Te Arawhiti) dan Menteri Perumahan (Perumahan Sosial), Tama Potaka.
Dalam pertemuan ini, katanya, mereka menyentuh pelbagai perkara berkaitan dasar pemulihan hak, pemerkasaan ekonomi serta pendidikan dan pewarisan budaya antara masyarakat Maori dan Orang Asli Malaysia.
Menurutnya, beliau turut berkongsi kejayaan penempatan lebih 450 pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi (IPT) tahun lalu serta komitmen Malaysia untuk terus memperbaiki dasar sedia ada termasuk semakan Akta Orang Asli 1954.
Ujar beliau, pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa komuniti Orang Asli di Malaysia khususnya dalam mengekalkan warisan budaya yang unik dan bernilai tinggi sebagai tarikan pelancongan.
“Insya-Allah, lawatan ini akan memperkukuh iltizam kita untuk membentuk komuniti peribumi yang lebih berdaya, sejahtera dan dihormati,” katanya. – KOSMO! ONLINE