fbpx

Mesyuarat Majlis Raja-Raja tumpu isu kehakiman, keselamatan, pengharaman vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Istana Negara.

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang berlangsung hari ini di Istana Negara dan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menghimpunkan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan pelbagai isu penting berkaitan keselamatan, kehakiman, dan hal ehwal negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai situasi keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Katanya, taklimat mengenai pertahanan negara pula telah dikemukakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Syed Danial berkata, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.

“Majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

“Turut dibentangkan ialah Pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Majlis turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan melibatkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI