JAKARTA – Beribu-ribu orang menyerbu sebuah kedai di Cianjur, wilayah Jawa Barat bagi menghadiri temu duga untuk mengisi 50 jawatan kosong yang diiklankan oleh syarikat tersebut, lapor laman berita Detik hari ini.
Dalam kejadian semalam, kebanjiran orang ramai telah menyebabkan lalu lintas di Jalan Siliwangi sesak teruk.
Calon temu duga menyerbu kawasan itu sehingga ia kelihatan seperti acara perarakan.
Seorang calon dikenali sebagai Ros, 18, berkata, dia mendapat tahu mengenai temu duga itu daripada rakannya.
“Pemohon terlalu ramai sehingga saya tidak boleh bergerak.
“Saya mengambil masa dari pukul 6 pagi (waktu tempatan) hingga 9 pagi (waktu tempatan) untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan. Saya berdiri selama tiga jam,” katanya.
Sementara itu, pengurus kedai, Adi Ramdani berkata, syarikat mengiklankan 50 kekosongan jawatan.
Namun, dia tidak menyangka akan menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai selepas mengiklankan jawatan kosong di media sosial.
“Kekosongan ini hanya untuk 50 orang sahaja dan ia untuk beberapa cawangan sedia ada serta cawangan baharu. Namun, saya tidak sangka ramai yang memohon,” katanya.
Kata Adi, disebabkan keadaan itu, syarikatnya menukar sistem pemilihan calon, di mana pemohon perlu menyerahkan dokumen dan memberikan nombor telefon bimbit mereka.
“Calon yang disenarai pendek akan dihubungi untuk prosedur selanjutnya,” katanya. – AGENSI