fbpx

Kad Pekerja MADANI bantu ringankan kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kad pekerja MADANI memberi manfaat yang meluas kepada pekerja berkesatuan.

PETALING JAYA – Bagi mengurangkan beban kos sara hidup termasuk pelarasan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik pekerja berkesatuan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memperkenalkan Kad Pekerja MADANI.

Dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja, kad itu bertujuan untuk membantu meringankan beban pekerja melalui penawaran diskaun yang praktikal, relevan dan mudah diakses.

Berbentuk digital dan dilengkapi dengan kod QR, kad itu membolehkan pengguna mengimbas kad dengan mudah di premis-premis yang mengambil bahagian.

Pendekatan digital ini membolehkan penggunaan yang lebih pantas, tanpa keperluan kad fizikal, serta selari dengan inisiatif pendi­gitalan perkhidmatan awam.

Ia juga menjadi pelengkap sokongan kepada usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat pekerja terus terpelihara di tengah perubahan ekonomi.

Lebih istimewa, kad itu menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi barang keperluan, perkhidmatan, kesihatan dan pendidikan kepada ahli kesatuan se­kerja berdaftar, dengan kerjasama lebih 100 syarikat rakan strategik di seluruh negara.

Malah, ia juga boleh digunakan untuk pembelian pelbagai barangan dan perkhidmatan termasuk di pasar raya seperti makanan dan minuman, pakaian, serta perjalanan dan penginapan.

Antara syarikat yang telah ­menyertai inisiatif ini termasuk Mydin, Starbucks Coffee, ZUS Coffee, Marrybrown, Resort World Genting, Jungle Gym, Ripley’s Adventureland, SOCAR Mobility Malaysia, dan The Top Penang.

Justeru, orang ramai terutamanya pekerja berkesatuan yang ingin mendapatkan Kad Pekerja MADANI boleh memohonnya secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi kadpekerjamadani.mohr.gov.my.

Langkah pertama permohonan, pengguna perlu mendaftar akaun pengguna dengan mengisi maklumat asas se­perti nama, e-mel, nombor kad pengenalan dan kata laluan.

Kemudian, log masuk ke sistem menggunakan e-mel dan kata laluan yang telah didaftarkan di aplikasi Kad Pekerja MADANI.

Selepas selesai menekan butang ‘Mohon Sekarang’, isi maklumat lengkap seperti maklumat peribadi, maklumat kesatuan se­kerja yang dianggotai dan maklumat majikan semasa.

Setelah maklumat lengkap diisi, hantar permohonan untuk semakan. Permohonan ini akan disalurkan kepada wakil kesatuan masing-masing.

Pihak kesatuan akan menyemak permohonan dan mengesahkan keahlian serta maklumat yang diberikan. Hanya permohonan yang sah dan tepat akan diluluskan.

Poster menunjukkan cara membuat permohonan kad pekerja MADANI dengan cara yang lebih mudah.

Apabila diluluskan, pengguna boleh memuat turun dan meng­akses Kad Pekerja MADANI mereka secara terus melalui sistem.

Kad boleh terus diimbas atau dipaparkan di kaunter semasa membuat pembelian di premis rakan strategik.

Sehingga Julai 2025, sejumlah 173,325 individu telah mendaftar dalam sistem Kad Pekerja MADANI, de­ngan 147,534 permohonan lengkap diterima.

Seramai 11,587 pekerja telah me­nerima kad mereka, manakala selebihnya masih dalam pro­ses semakan dan pengesahan oleh kesatuan ma­sing-masing.

KESUMA menyasarkan supaya sejuta pekerja menerima manfaat Kad Pe­kerja MADANI menjelang akhir tahun ini.

Ini adalah bukti nyata komitmen kerajaan MADANI dalam menyantuni golongan pekerja dengan pendekatan yang inklusif dan praktikal.

Kad Pekerja MADANI hadir tepat pada masanya sebagai bantuan untuk meringankan beban dan sebagai dorongan kepada pekerja untuk terus maju.

Melalui satu permohonan mudah, anda bukan sahaja menjimatkan kos harian, tetapi turut menjadi sebahagian daripada ekosistem pekerja yang lebih kukuh, dihargai dan dilin­dungi. Inilah erti sebenar Malaysia MADANI.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat JHEKS atau pejabat negeri berhampiran, atau e-mel kepada [email protected].

Daftar dan mohon sekarang di laman rasmi kadpekerjamadani.mohr.gov.my dan nikmati pelbagai faedah sebagai penghargaan atas jasa dan sumba­ng­an anda kepada negara.

Info Kad Pekerja MADANI

  • Dilancarkan pada 1 Mei lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja.
  • Kad ini khusus kepada ahli kesatuan sekerja berdaftar.
  • Berbentuk digital dan dilengkapi dengan kod QR membolehkan pengguna mengimbas kad dengan mudah di premis-premis yang mengambil bahagian.
  • Menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi barang keperluan, perkhidmatan, kesihatan dan pendidikan kepada ahli kesatuan sekerja berdaftar.
  • Boleh juga boleh digunakan untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan seperti makanan dan minuman, pakaian, serta perjalanan dan penginapan.
  • Lebih 100 syarikat rakan strategik di seluruh negara menyertai insiatif ini.
  • Antara syarikat yang telah menyertai inisiatif itu termasuk Mydin, Starbucks Coffee, ZUS Coffee, Marrybrown, Resort World Genting, Jungle Gym, Ripley’s Adventureland, SOCAR Mobility Malaysia, dan The Top Penang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI