KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia bersama syarikat penyedia peranti pintar, HONOR menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan utama menjelang tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Lee Thai Hung berkata, menerusi MoC itu kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan warisan semula jadi negara kepada pelancong melalui inisiatif fotografi mudah alih.
“Kerjasama ini menyokong usaha kami untuk mempelbagaikan strategi promosi dan menerima inovasi dalam pemasaran pelancongan.
“Dalam persediaan tahun Melawat Malaysia 2026, kami berazam untuk membina kerjasama awam-swasta yang kukuh yang boleh meningkatkan jenama Malaysia di peringkat global,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) tersebut di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pemasaran HONOR Malaysia, Victor Yu bersama Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi.
Sementara itu, Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li berkata, melalui kerjasama itu pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk pertandingan fotografi, bengkel, pameran seni dan acara kebudayaan.
Katanya, pertandingan fotografi mudah alih global tahunan yang turut dibuka kepada rakyat Malaysia, HONOR Magic Moments Awards akan menyediakan platform unik untuk peserta mempamerkan kreativiti mereka melalui teknologi telefon pintar inovatif HONOR.
“Kami berbesar hati menyokong kempen Melawat Malaysia 2026 dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi.
“Kami mahu mencipta peluang baharu untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, memperkasakan belia negara, dan memupuk pertukaran budaya.
“Bukan sahaja pelancong, rakyat Malaysia sendiri juga akan dapat menikmati dan menghargai detik indah dan keajaiban negara yang dirakam melalui telefon pintar HONOR,” katanya.
Sementara itu, sebagai tambahan kepada kerjasama tersebut, HONOR juga akan menghasilkan kandungan yang menampilkan telefon pintar boleh lipat terbaharunya, HONOR Magic V5 untuk meningkatkan pengalaman perjalanan pelancong ke seluruh negara.
Kandungan itu akan memberikan tip perjalanan berharga dan idea fotografi kreatif, semuanya dikuasakan oleh keupayaan kecerdasan buatan (Al) canggih peranti tersebut.
Selain itu, dengan ciri Perkongsian Skrin Langsung Gemini, pelancong dapat menerima cadangan masa nyata dengan lancar, menjadikan pengalaman meneroka tarikan dan pergerakan dalam bandar lebih efisien dan menyeronokkan.
Sementara itu, fungsi seperti Three Split Screen baharu juga membolehkan pengguna membandingkan harga hotel, pengangkutan dan membeli-belah dengan mudah, menjadikan perancangan perjalanan lebih cekap dan menyeronokkan. – KOSMO! ONLINE