MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menggempur tiga unit banglo di kawasan perumahan elit di Ayer Keroh di sini selepas dikesan menyimpan 41,000 kilogram (kg) barang kawalan baja.
Dalam serbuan Op Samar 5.0 kira-kira 11 pagi itu, kesemua baja bernilai RM6,789.05 tersebut dirampas selepas disyaki untuk dibungkus semula tanpa kebenaran pihak pengawal.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, serbuan tersebut merupakan hasil risikan dan aduan orang awam berkaitan bau busuk baja yang menganggu keselesaan masyarakat setempat.
“Risikan telah dijalankan selama seminggu dan kita dapati kegiatan membungkus baja dijalankan di premis ini tanpa kebenaran pihak pengawal serta tidak ditentusahkan.
“Baja-baja tersebut dibungkus semula dalam pek kecil dan dijual di TikTok dengan keuntungan boleh mencecah RM400,000 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan, hari ini.

Tambahnya, aktiviti itu dipercayai telah dilakukan sejak tahun lalu dan premis mewah berkenaan disewa pada kadar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk penjimatan kos berbanding pengoperasian di kilang.
“Mereka juga menyewa premis di kawasan elit ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain kawalan ketat keselamatan untuk masuk ke kawasan perumahan.
“Hasil semakan, perniagaan yang didaftarkan pada lesen perniagaan bukan di kawasan ini sebaliknya di luar Melaka,” katanya.
Ujarnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Timbang dan Sukat 1972. – KOSMO! ONLINE