KEPUTUSAN skuad Harimau Malaya menerima jemputan Persatuan Bola Sepak Negara-Negara Asia Barat (CAFA) untuk bertanding pada Piala Negara CAFA bulan depan merupakan satu tindakan berani.
Ini kerana kejohanan dwi tahunan itu akan turut disertai dua pasukan yang sudah layak ke Piala Dunia 2026 iaitu Iran dan Uzbekistan.
Pada kejohanan itu, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Tajikistan dan Afghanistan.
Sudah pasti ia peluang terbaik buat pasukan kendalian Peter Cklamovski untuk menguji kekuatan di peringkat tertinggi.
Iran ketika ini boleh dianggap antara pasukan terbaik apabila menduduki ranking ke-20 dunia dan No. 2 di rantau Asia di belakang Jepun yang berada di ranking 17 dunia.
Peluang untuk ‘asah taring’ menentang pasukan Iran tidak datang selalu kerana kali terakhir skuad negara menentang Team Melli itu ialah pada kumpulan Piala Asia 2007.
Mungkin sukar untuk kita meletakkan harapan untuk menang, tetapi setidaknya pasukan kebangsaan mampu melakar kejutan dengan meraih keputusan seri, sama seperti ketika mengikat Korea Selatan 3-3 pada pentas Piala Asia 2023 yang lepas.
Malah, kehadiran beberapa pemain warisan ‘gred A’ sejak awal tahun ini diharap mencerahkan lagi peluang skuad negara untuk melakar kejutan pada Piala CAFA.
Revolusi skuad negara sebelum ini telah memperkenalkan tujuh pemain berdarah warisan seperti Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Jon Irazabal selain tiga pemain di posisi serangan iaitu Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo.
Seorang lagi pemain berdarah warisan yang berpotensi untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan adalah Nacho Mendez.
Legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, semua tonggak warisan baharu yang mewarnai skuad Harimau Malaya sejak awal tahun ini sudah cukup menguatkan pasukan untuk meraih keputusan terbaik.
“Bagi saya, (pengambilan pemain berdarah warisan baharu) adalah permulaan. Ini sudah terbaik untuk kita bermula di satu tahap yang lebih jauh. Dengan permulaan ini, kita perlu mengambil sepenuhnya (peluang) dalam misi kita pergi lebih jauh.
“Sudah tentu kita perlukan kejohanan (Piala CAFA) sebegini. Ini satu penghormatan dan penghargaan yang sudah diberikan kepada skuad kebangsaan.
“Saya lihat ini satu pertandingan yang begitu baik untuk persiapan dan peningkatan pasukan kebangsaan,” kata Zainal.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain skuad negara, S. Subramaniam mahu pasukan negara menjadikan Piala CAFA sebagai platform terbaik untuk persiapan sebelum harungi baki aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober nanti.
Kata Subramaniam, barisan pemain pasti sedar misi untuk layak ke Piala Asia 2027 belum selesai dan peluang untuk bersaing dalam aksi kompetitif seperti Piala CAFA boleh menguatkan lagi persiapan pasukan.
“Kita akan menguji negara-negara yang berkualiti pada Piala CAFA nanti. Sudah tentu fokus utama pada aksi kelayakan tetapi saya percaya dengan revolusi Harimau Malaya sekarang, kita boleh berikan saingan sengit di Tajikistan nanti,” katanya.














