fbpx

Pempengaruh permotoran dikhuatiri hilang, Axia terjunam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Perodua Axia dinaiki Tengku Nizaruddin atau Ija ditemui terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui, Pagoh, Muar hari ini.

MUAR – Seorang pempengaruh permotoran dikhuatiri lemas selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki ditemui terbabas dalam sungai di Kampung Tui, Pagoh di sini, semalam.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari.

Difahamkan, lelaki itu menaiki kereta Perodua Axia berwarna putih dengan nombor pendaftaran JUH 249 untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa di sini.

Menurut rakan baik mangsa, Muhammad Nazmi Mohd. Zainal, 30, kereta Tengku Nizaruddin ditemui dalam sungai, tetapi lelaki itu tiada.

“Buat masa ini, anggota bomba masih melakukan pencarian di dalam sungai dan kawasan sekitarnya.

“Isterinya ada memaklumkan sebelum ini suaminya (Ija) pernah mengalami serangan jantung ketika memandu. Kita doakan yang terbaik untuk Ija semoga dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nazmi memberitahu, mengikut laporan polis yang dibuat isteri mangsa, wanita itu menghubungi Tengku Nizaruddin selepas pukul 4 petang, Isnin lalu namun gagal.

Wanita itu cuba menjejaki suaminya dengan menggunakan kedudukan sistem posisi sejagat (GPS) selain menghubungi rakan lelaki itu di Parit Jawa, namun menemui jalan buntu.

Ujar Nazmi, keluarga mangsa turut mencari di sekitar Lenga, Bukit Kepong dan Muar pada pukul 1 pagi tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI