KUALA LUMPUR – Juara Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel-KLGCC yang bermula esok berpeluang mendapat penyertaan terus ke Jelajah Pembangunan Asia, Singapore Ladies Masters dan Next Gen World Finals 2025.
Kejohanan kali ini menampilkan 108 pemain dari 10 negara ini akan merebut tempat dalam pelbagai kumpulan umur yang dipertandingkan dari 16-19 Julai di Kelab Golf Kuala Lumpur di sini.
Pengarah Eksekutif merangkap Pengerusi Penganjur SportExcel, C. Sivanandan berkata, selain pemain tempatan, kejohanan itu juga akan menampilkan penyertaan dari Australia, United Kingdom, Norway, Thailand, Korea Selatan, China, India, Indonesia dan Singapura.
Katanya, kejohanan itu memberi peluang untuk merebut dua slot ke Bridgestone ASEAN Tour Grand Finals 2025 pada 31 Oktober depan.
“Objektif utama kejohanan ini adalah untuk memperkenalkan visi SportExcel ke arah memupuk generasi juara golf akan datang dengan kerjasama dan sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan penaja.
“Kejohanan ini menghimpunkan bakat-bakat junior terkemuka dari seluruh dunia dan menawarkan mata Kedudukan Golf Amatur Dunia (WAGR) serta peluang untuk mempromosikan pembangunan golf junior dan persahabatan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah bahawa kategori kumpulan umur yang dipertandingkan oleh 76 pemain Lelaki dan 32 pemain Wanita adalah Lelaki A (19-23), Wanita A (19-23), Lelaki B (15-18), Perempuan (15-18), Lelaki C (13-14) dan Perempuan (13-14) tahun.
Sementara itu, Pengerusi Program Pembangunan Junior Kebangsaan MGA, Mohd. Fauzi Mesran berkata, persatuan itu bekerjasama rapat dengan SportExcel untuk meningkatkan tahap pemain golf berbakat.
“SportExcel telah berusaha tanpa jemu untuk mengenal pasti pemain golf muda berbakat dan kami di MGA akan memainkan peranan kami untuk memastikan kemajuan mereka dengan membawa mereka ke tahap seterusnya dengan sumber kewangan yang ada.
“Bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak dana untuk meneruskan program pembangunan yang dapat membantu menghasilkan sebilangan besar pemain golf berbakat seperti Gavin Green, Mirabel Ting dan Jeneath Wong,” katanya.