MELAKA – Seorang wanita menangis selepas dia dan tunangnya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berbelanja menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain, awal bulan ini.
Tertuduh, Nurzafirah Zaini, 27, dan Muhammad Zulkarnaen Zahari, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama, dengan niat bersama melakukan capaian tanpa kuasa terhadap satu sistem komputer iaitu dengan menggunakan kad ATM Bank Islam milik seorang lelaki berusia 44 tahun tanpa kebenaran.
Tertuduh didakwa telah melakukan lima transaksi pembelian di beberapa premis di sekitar Ayer Keroh antara pukul 8 malam sehingga 9 malam yang menyebabkan pemilik mengalami kerugian berjumlah RM584.70, pada 6 Julai lalu.
Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta Jenayah Komputer 1997.
Difahamkan tertuduh menggunakan kad tersebut untuk berbelanja di pasar raya Mydin dan kedai gajet.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang.
Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh wanita mempunyai seorang adik orang kurang upaya (OKU) dan menjaga ibunya yang sakit, selain kedua-duanya telah insaf.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 18 Ogos sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE