fbpx

Rakyat makin sedar isu kebajikan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tiga dari kiri) bersama sebahagian pelajar dari Yayasan Chow Kit yang hadir pada majlis pelancaran buku The Foundling di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Isu kebajikan kanak-kanak semakin mendapat perhatian serius masyarakat Malaysia apabila kesedaran orang ramai dalam melindungi dan membela nasib golongan itu menunjukkan peningkatan ketara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan individu kini lebih peka serta aktif memainkan peranan dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan sokongan.

“Saya dapat melihat bahawa kesedaran masyarakat terhadap isu kebajikan kanak-kanak masa kini memang semakin meningkat. Malah, di lokasi seperti Yayasan Chow Kit (YCK) ini sahaja kita dapat menyaksikan bagaimana ramai kanak-kanak mendapat bantuan yang sepatutnya.

“Bukan itu sahaja, di tempat-tempat lain juga wujud pelbagai inisiatif daripada masyarakat dan NGO untuk membantu mereka dalam bentuk pendidikan, perlindungan serta keperluan asas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku The Foundling karya pengasas bersama YCK dan aktivis kanak-kanak, Datuk Dr. Hartini Zainudin, di sini hari ini.

Nancy berkata, peningkatan kesedaran itu turut didorong oleh pendedahan masyarakat kepada pelbagai maklumat dan pengalaman dari dalam dan luar negara, sekali gus memberi kesan langsung kepada cara mereka melihat dan menangani isu kebajikan kanak-kanak.

“Kita dapat lihat banyak yang berubah. Masyarakat kini lebih terbuka, prihatin dan cakna terhadap permasalahan yang dihadapi oleh kanak-kanak terpinggir. Ini satu perkembangan yang sangat positif.

“Kita juga tidak mahu negara kita berdepan dengan ancaman seperti yang berlaku di beberapa negara lain. Justeru, usaha awal harus dibuat untuk membela nasib anak-anak ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI