PETALING JAYA – ‘Setiap hari saya pura-pura pergi kerja tetapi sebenarnya saya ke medan selera, duduk sendirian, mohon kerja satu demi satu.’
Demikian luahan seorang lelaki yang sudah dua bulan kehilangan pekerjaan, namun memilih untuk menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan isteri dan anak-anaknya.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, lelaki tersebut berkata dia tidak mahu isterinya bimbang lalu memilih untuk terus berlakon seolah-olah semuanya masih berjalan seperti biasa.
“Saya tidak beritahu sesiapa, bukan sebab malu tapi sebab tak nak mereka risau. Terutamanya isteri saya.
“Niat saya, tunggu sampai dapat kerja baharu dulu, barulah saya akan beritahu perkara sebenar,” katanya menerusi hantaran itu.
Menurutnya, sehingga kini dia telah memohon sebanyak 43 jawatan kosong dan hanya tiga daripadanya yang memanggil untuk temu duga.
“Semuanya senyap selepas itu. Tiada panggilan semula. Wang simpanan masih cukup untuk enam atau tujuh bulan, tapi saya dah mula fikir untuk buka gerai makanan atau jadi penghantar makanan. Asalkan anak saya makan,” ujarnya.
Jelasnya, dia akan memberitahu isterinya apabila tiba masa yang sesuai, namun buat masa ini dia hanya mampu menanggung semuanya sendirian.
Rata-rata orang ramai di ruangan komen menyarankan agar dia segera berkongsi keadaan sebenar dengan isterinya.
“Bang, nasihat saya beritahulah isteri abang elok-elok sebab doa seorang isteri ini sangat mujarab. Jangan lupa juga minta maaf kepada keluarga dan percayalah semuanya akan baik-baik sahaja,” komen Wawaghfr.
“Perkara terbaik adalah berkongsi masalah yang abang tanggung ini dengan isteri kerana dia adalah teman hidup abang bukan beban,” kata Azamilizzat. – KOSMO! ONLINE