fbpx

‘Bayar hutang RM18,000, nak rawat bapa saya sakit kanser usus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir memohon jasa baik stesen televisyen melangsaikan hutang berjumlah RM18,000 agar dapat menampung kos rawatan bapa tersayang yang kini menderita kanser usus.

PETALING JAYA – “Ini soal hidup dan mati bapa saya.”

Demikian luahan pelawak Amir Raja Lawak terhadap pengurusan sebuah stesen televisyen yang masih belum melangsaikan tunggakan hutang berjumlah RM18,000 sejak tiga tahun lalu.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 36, berkata, desakan terhadap pihak berkaitan dilakukan bagi menuntut haknya sekali gus ikhtiar mendapatkan rawatan untuk bapanya yang menghidap kanser usus.

“Ini juga soal usaha dan ikhtiar kami sekeluarga buat abah (bapa). Saya tak minta pinjam duit. Saya minta duit dan hak saya.

“Tak perlu saya jelaskan keadaan abah atau apa yang kami sekeluarga tengah hadap.

“Semua boleh tahu keadaan pesakit kanser usus,” katanya dalam hantaran di Instagramnya.

Selebriti yang mengusahakan perniagaan ayam goreng itu turut berkongsi foto bersama bapanya yang duduk di kerusi roda.

Menerusi hantaran sama, Amir mendedahkan wakil pengurusan stesen berkenaan menghubunginya selepas dia memuat naik rayuan pertama berkenaan tuntutan bayaran tempoh hari.

Pihak syarikat menawarkan bayaran ansuran sebanyak RM3,000, namun dia menolak disebabkan sehingga kini hutang mereka masih lagi tertangguh.

“Saya nak RM18,000 penuh tanpa diskaun atau bayar ansur-ansur sebab kecemasan.

“Selepas viral mereka nak beri RM3,000 tetapi saya tak mahu sebab sebelum ini pernah beri RM5,000 awal tahun lepas.

“Kemudian sampai sekarang belum dapat apa-apa lagi,” ujarnya.

Dalam hantaran sebelum ini Amir meminta pihak berkenaan membuat bayaran segera selain hanya memaklumkan tujuan meminta wang tersebut adalah demi membantu keluarga.

Berdasarkan pengakuannya sebelum ini, wang dituntut merupakan bayaran pembabitannya dalam sebuah program siaran stesen televisyen berkenaan.

Minggu lalu Amir juga mendedahkan terpaksa menjual kereta jenis Proton Juara miliknya disebabkan terlalu lama menunggu bayaran yang tertangguh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI